| Memang payah untuk bangun semula setelah segala yang dibina, digarap; tiba-tiba ranap tanpa ada sebab yang jelas. Hari pertama di daerah ini menumbuhkan berbagai tunas rasa di laman perasaan, hingga membawa keliru dalam membuat keputusan. Sungguhpun aku telah sering melintasi, malah ada ketika sempat melepas lelah di sini, aku anggap kehadiranku pada hari itu adalah yang pertama kali. Julai, 16, 2008. Tarikh itu aku anggap hari pertama aku tiba di daerah ini. Sejujurnya, aku pada ketika itu, belum bersedia atau mungkin juga tidak pernah bersedia untuk menggalas tanggungjawab ini. Sejujurnya juga, selama bertahun dalam pengajian, jiwa untuk menggalas tanggungjawab itu tidak pernah hadir dalam kota pemikiranku. Pagi 16 julai 2008, aku berkelahi dengan diri sendiri. Antara harapan dan perasaan, antara kemahuan dan keperluan, antara ketaatan dan pengorbanan. Setiap satu dari semua itu, bergulir menjerkah dan meminta ruang untuk berdiri. Bukanlah kedudukan atau keadaan daerah ini yang menjadi penyebab, sebetulnya 'tunas' itu masih belum molek tumbuhnya. Dan esok tetap di tangan Tuhan...(bersambung) |
No comments:
Post a Comment