Sunday, October 14, 2018

Cerita 3

Daerah ini letaknya di pesisir Laut China Selatan. Mengunjur hingga ke selatan tanah air. Sebelum aku membawa cerita ku ke sini, daerah ini telah mempunyai ceritanya sendiri. Ia bercerita melalui masa dan dari lipatan gulungan ombak. Namun, dek kerana letaknya di hujung peta, ceritanya jarang sekali kedengaran dan jarang juga khalayak ramai mendengarnya. Begitulah juga cerita aku, cerita rakan-rakan. Kami menggalas harap, memikul amanah supaya kejahilan tidak terus terbedak di pipi, tercelak di kening anak watan. Terkadang, ada pilu yang mencakar laman rasa, tetap kami sabar kerana ini jalan yang kami pilih. Kami tidak mengharap simpati atau sokongan, cukuplah sekadar memahami kerana untuk membina bangsa dan tamadun bukan kerja buat yang mudah. Rom tidak terbina dalam satu malam. Tembok China tidak berdiri dengan hanya seketul bata.


Tuesday, November 21, 2017

Cerita 2

Matahari seolah-olah akan larut dalam ufuk. Tanda hari telah petang. Petang itu, setelah ayah pulang dan meninggalkan aku di daerah ini, dimensi rasa tiba-tiba menjadi kosong. Bukan kerana aku mahu ayah terus menemani aku di sini, bahkan tujuan dia ke mari bersama aku pagi tadi pun bukanlah untuk menemani. Tapi kerana kenderaan yang aku pandu itu miliknya. Namun, dari satu sudut, aku memang mengharapkan ayah berlama sikit disini, memberikan sesuatu dalam pesan dan ingatan. Aku faham dan akur, ayah masih perlu menjalankan tanggungjawabnya di daerah asal kami. Sebenarnya, sebelum berlalu, sempat juga ayah menyimpul kata sebagai bekalan pedoman. "Di daerah rantau, merunduklah tapi jangan sampai terpuruk. Carilah seramainya kawan, hindarkan lawan."Ahh..ayah bercakap tentang kawan sedangkan aku masih rawan memikirkan "aku ini harus bagaimana? masa depan anak watan telah diletakkan dalam tangan ku kini!!" Apa-apa pun aku tetap berterima kasih untuk setiap pengorbanan ayah dan ibu. Kawan; esok aku fikirkan kerana esok tetap ditangan Tuhan...(bersambung) 

Monday, November 20, 2017

Cerita 1

Memang payah untuk bangun semula setelah segala yang dibina, digarap; tiba-tiba ranap tanpa ada sebab yang jelas. Hari pertama di daerah ini menumbuhkan berbagai tunas rasa di laman perasaan, hingga membawa keliru dalam membuat keputusan. Sungguhpun aku telah sering melintasi, malah ada ketika sempat melepas lelah di sini, aku anggap kehadiranku pada hari itu adalah yang pertama kali. Julai, 16, 2008. Tarikh itu aku anggap hari pertama aku tiba di daerah ini. Sejujurnya, aku pada ketika itu, belum bersedia atau mungkin juga tidak pernah bersedia untuk menggalas tanggungjawab ini. Sejujurnya juga, selama bertahun dalam pengajian, jiwa untuk menggalas tanggungjawab itu tidak pernah hadir dalam kota pemikiranku. Pagi 16 julai 2008, aku berkelahi dengan diri sendiri. Antara harapan dan perasaan, antara kemahuan dan keperluan, antara ketaatan dan pengorbanan. Setiap satu dari semua itu, bergulir menjerkah dan meminta ruang untuk berdiri. Bukanlah kedudukan atau keadaan daerah ini yang menjadi penyebab, sebetulnya 'tunas' itu masih belum molek tumbuhnya. Dan esok tetap di tangan Tuhan...(bersambung)